Berbeza dengan majoriti pemuda berusia serupa dari zaman Jahiliah sehingga zaman millennia ini, Rasulullah s.a.w. merupakan seorang yang fokus mengenai hala tuju hidupnya. Dia tidak pernah berfoya-foya jauh sekali mempunyai mana-mana teman istimewa.
Akhirnya, setelah semua bersetuju dengan cadangan dari pihak Siti Khadijah r.a., perkahwinan antara Rasulullah s.a.w. diadakan Siti Khadijah r.a. dilangsungkan.
Ketika Rasulullah berusia tiga puluh lima tahun, sewaktu beliau belum diangkat oleh Allah sebagai seorang nabi. Kota Makkah dilanda banjir besar sehingga merosakkan binaan Ka’abah.
Pada awal usaha pembaikan, orang-orang Quraisy merasa agak sangsi dan takut untuk meruntuhkan Ka’abah bagi kerja pembaikan tersebut. Tetapi apabila seorang dari mereka yang bernama Al-Walid bin Al-Mughirah Al-Makhzumy memulakan kerja meruntuhkan binaan Kaabah yang rosak dan setelah mereka melihat tidak ada hal buruk yang terjadi pada Al-Walid, orang-orang Quraisy pun mulai ikut meruntuhkan Ka’abah sampai ke bagian rukun Ibrahim.
Mereka kemudian membagi sudut-sudut Ka’bah dan mengkhususkan setiap kabilah dengan bagian-bagiannya sendiri. Rasulullah sendiri ikut dalam usaha tersebut. Pada ketika pembangunan sudah sampai ke bahagian Hajar Aswad, mula timbul perselisihan antara bangsa Quraisy yang terlibat dalam pembinaan semula Ka’abah tersebut. Mereka mempertikaikan kabilah mana yang sepatutnya mendapatkan kehormatan untuk meletakkan Hajar Aswad ke tempatnya semula. Perselisihan pendapat ini berlangsung selama beberapa hari bahkan hampir menyebabkan pertumpahan darah.
Abu Umayyah bin Al-Mughirah Al-Makhzumi kemudian memberikan saranan kepada mereka agar menyerahkan keputusan kepada orang yang pertama kali masuk ke pintu masjid pada waktu subuh. Kesemua kabilah terbabit bersetuju dengan cadangan tersebut. Apabila tiba waktu yang dijanjikan, maka dengan takdir Allah s.w.t., Baginda Rasulullah s.a.w. menjadi hamba Allah yang pertama memasuki pintu masjid tersebut. Melihatkan kepada kelibat baginda, semua orang Quraisy dalam kabilah-kabilah bertelagah terbabit berasa gembira dan lapang dada kerana baginda merupakan orang yang menjadi kepercayaan semua di Kota Mekah.
Bagi mengatasi masalah perbalahan mengenai perebutan hak yang sungguh ekslusif meletakkan hajar Aswad di tempatnya, baginda mengambil selembar selendang lalu membentangkannya. Kemudian Hajar Aswad itu diletakkan di tengah-tengan selendang tersebut. Baginda lalu meminta seluruh pemuka kabilah yang berselisih untuk memegang setiap hujung selendang tersebut. Mereka kemudiannya mengangkat Hajar Aswad itu bersama-sama. Setelah mendekati tempatnya, Rasulullah s.a.w. kemudiannya meletakkan Hajar Aswad tersebut ke tempatnya. Kebijaksanaan baginda ini menyelamatkan satu lagi tragedi pertumpahan darah yang menjadi sesuatu yang lumrah dikalangan puak-puak Arab yang berselisih.
Pada ketika hampirnya tiba waktu di mana Muhammad s.a.w. bakal dilantik sebagai Khatamun Nabiyyin, Penutup bagi segala Nabi dan Rasul, mimpi-mimpi baginda disertai oleh berita-berita baik yang akhirnya membawa kepada baginda mengasingkan diri bagi menjauhkan diri baginda dari Kota Mekah yang dipenuhi maksiat. Siti Khadijah r.a., seorang isteri yang amat mengambil berat mengenai perihal suaminya, setia menghantarkan bekal makanan dengan memanjat bukit An Nur bagi memastikan suaminya yang tercinta itu sentiasa dalam keadaan selesa dalam mengasingkan diri.
Kemudian apabila tiba waktu yang dijanjikan, tidak dilewatkan atau dilambatkan walaupun sesaat, Ruhul Quddus yakni Jibril a.s. mendatangi baginda membawa wahyu pertama kepada baginda untuk umat manusia keseluruhannya. Wahyu tersebut terkandung dalam surah Al ‘Alaq. Pendeta-pendeta Yahudi dan Nasrani telah lama mengetahui mengenai sifat-sifat dan cara mengenali Rasul akhir zaman yang bakal dilantik. Ianya terkandung dalam kitab-kitab mereka dan sebahagian dari ayat-ayat tersebut tidak terpadam sehingga kini dan masih wujud dalam Bible yang dibaca majoriti Kristian. Wahyu pertama ini juga mengandungi petanda-petanda yang dicari pendeta-pendeta Yahudi dan Nasrani. InsyaAllah di kesempatan yang lain saya akan menghuraikan perkara ini dalam posting saya berkenaan dengan rahsia surah Al-‘Alaq, kalimah Bismillah dan kaitannya dengan petunjuk-petunjuk yang dinyatakan dalam kitab-kitab wahyu Allah sebelum dari Al-Qur’an.
Baginda yang meluru pulang dalam ketakutan disambut Siti Khadijah dengan wajah yang tenang. Suaminya yang berada dalam keadaan ketakutan itu diselimutinya dan ditenangkan. Melalui cadangannya, maka Rasulullah s.a.w. di bawa olehnya untuk bertemu salah seorang sepupunya yang merupakan pendita Yahudi yang sangat berusia. Waraqah bin Naufal, sepupu Siti Khadijah tersebut, menyatakan bahawa apa yang dialami baginda itu merupakan wahyu dari Allah yang sekaligus membawa maksud bahawa baginda telah diutus menjadi Rasul.
Waraqah bin Naufal, juga menyatakan bahawa dia berjanji akan mempertahankan baginda dengan nyawanya pada ketika Rasulullah diusir oleh musyrikin Mekah nanti. Pernyataan dari mulut Waraqah ini mengejutkan baginda. Lalu baginda pun bertanya apakah baginda akan dihalau dari kampung halamannya yang tercinta? Waraqah memberitahu bahawa memang itulah takdir bagi setiap yang memikul tugasan berat tersebut.
Siti Khadijah menjadi isterinya yang amat disayangi serta dikasihi baginda. Cinta baginda terhadap Siti Khadijah tidak pernah luput biarpun selepas lama Siti Khadijah r.a. meninggal dunia. Ini dibuktikan melalui beberapa peristiwa yang dicatatkan dalam hadis baginda. Rasulullah tidak pernah lekang dari mulutnya memuji Siti Khadijah r.a. biarpun selepas Siti Khadijah meninggal dunia dan baginda mendirikan rumahtanggannya dengan isteri-isteri baginda yang lain.
Rasulullah s.a.w. hanya beristerikan Siti Khadijah seorang sehinggalah Siti Khadijah meninggal dunia. Baginda setia kepadanya dan hidup susah senang dengannya sehingga ke akhir hayatnya. Cinta Rasulullah s.a.w. kepada Siti Khadijah adakalanya menimbulkan rasa cemburu dalam hati isterinya, Siti A’isyah r.a., yang dinikahi selepasa beberapa tahun dari kematian Siti Khadijah r.a.
Siti A’isyah yang masih muda remaja menyatakan serta mengakui bahawa dia amat mencemburui rasa cinta Rasulullah terhadap Siti Khadijah biarpun dia tidak pernah bersemuka dengan Siti Khadijah r.a. Peristiwa ini ada dicatatkan dalam hadis.
Berkata A’isyah r.a.: “Tidak pernah aku cemburu kepada seseorangpun isteri-isteri Rasulullah s.a.w. seperti cemburuku kepada Siti Khadijah, padahal aku tidak pernah melihatnya. Tetapi Rasulullah sering menyebutnya.Seringkali Rasulullah menyembelih kibasy kemudian dipotongnya anggota-anggota kibasy tersebut lalu dikirimkannya kepada bekas teman-teman Sayyidah Khadijah. Aku berkata kepada Rasulullah : “Seakan-akan tidak ada wanita lain dalam dunia ini, selain Khadijah sahaja.” Spontan beliau menjawab; :”Sungguhnya Khadijah itu adalah begini dan begini (terhadapku, yakni Rasulullah dan agama Islam) dan juga daripadanya pula aku mendapat anak.”
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)
Rasa rindu baginda terhadap isterinya yang lama telah meninggal dunia dapat dilihat dalam satu peristiwa di mana Halah Binti Khuwailid, iaitu saudara Siti Khadijah datang berkunjung kepada Rasulullah s.a.w., lantas baginda kenal cara meminta izinnya untuk memasuki rumah yang sama seperti cara serta suara Siti Khadijah r.a. Baginda terharu kerana teringat baginda kepada Siti Khadijah sambil berucap, : “Wahai Tuhanku, aduh Halah Binti Khuwailid.” Lalu A’isyah dengan spontan berkata : “Apa yang tuan kenang dari seorang wanita dari golongan yang merah bibir, yang sudah ditelan masa, padahal Allahtelah menggantikannya dengan yang lebih baik daripadanya.”
Mendengar ucapan A’isyah itu, timbul marah Rasulullah seraya dia berkata: “Tidak A’isyah, Allah belum menggantikan isteriku itu dengan wanita yang lebih baik, kerana dia telah percaya kepadaku tatkala orang lain masih lagi dalam bimbang keingkaran, dia telah membenarkan aku, tatkala orang lain mendustakan aku, dia telah mengorbankan harta bendanya, tatkala orang lain menahan kemurahan mereka terhadapku dan dia telah melahirkan beberapa anak untukku tatkala orang lain mengharamkan anaknya kepadaku.”
Rasulullah pada ketika awal baginda menyampaikan dakwah, baginda telah dilayan dengan bermacam bentuk penghinaan dan perbuatan-perbuatan kejam dari masyarakat yang menolak apa yang cuba disampaikan baginda. Pada ketika itulah satu-satunya suara yang memberikan sokongan dan semangat kepada baginda datang dari isterinya Siti Khadijah.
Pada setiap ketika Rasulullah dicerca, dipukul, dihinakan, dihalau dan seriba macam lagi tentangan kejam yang dikenakan kepada baginda oleh masyrakat, Siti Khadijah dengan setia membantunya dengan merawat baginda dan memberikan sokongan moral biarpun sehingga mereka dipulaukan. Tetap dia tidak berganjak walaupun seinci dari sokongannya terhadap baginda. Siti Khadijah r.a. berdiri teguh dibelakang suaminya itu sehingga ke akhir hayatnya setelah kaum muslimin dikepung dan dipulaukan oleh musyrikin Mekah kerana dakwah yang disampaikan Rasulullah. Tidak pernah sekali pun dia menyesal dan menasihatkan Rasulullah berhenti dari melakukan tanggungjawabnya melainkan menyatakan sokongannya yang tidak berbelah bahagi kepada Islam dan apa yang di bawa suaminya.
Dari seorang yang kaya raya, Sayyidah Siti Khadijah meninggal dunia dalam keadaan sangat miskin kerana hartanya habis diberikan bagi membantu golongan mukmin yang menghadapi kesukaran sewaktu peristiwa dipulaukan tersebut dan membantu perjuangan suaminya. Kematian Siti Khadijah r.a. digambarkan Rasulullah s.a.w. tahun tersebut sebagai tahun kesedihan yang mana membuatkan Rasulullah s.a.w. berkelana ke Taif bagi mengubat hatinya serta mendapatkan sokongan baru bagi kaum Mukmin. Penduduk Taif juga menyambut baginda dengan hinaan, cercaan serta balingan batu yang mendatangkan kecederaan kepada baginda.
Betapa besar pengorbanan seorang isteri yang bernama Siti Khadijah ini kepada tanggungjawab yang harus dilaksanakan suaminya yang tercinta tanpa pernah dia bersungut dan mengeluh. Betapa besarnya pengorbanannya sehingga kita di nusantara ini akhirnya mendapat hidayah dapat menghirup udara pemberian Allah ini sebagai umat manusia yang beriman kepadaNya.
Sedih rasanya apabila ada diantara kita apabila diberikan Allah pinjaman berupa kesenangan dan kemasyhuran sementara di dunia ini, sanggup menghinakan wanita yang amat disayangi Rasulullah s.a.w. dengan dengan cercaan yang amat mengguriskan perasaan umat Islam. Sedangkan Rasulullah s.a.w. juga ada terasa hati bila A’isyah r.a. merasa cemburu dengan Siti Khadijah sepertimana yang diceritakan dalam hadis di atas.
TIADA SIAPA INGINKAN NAJIB BEBAS.
-
Penyokong dan kempimpinan UMNO masih lagi merintih dan merayu kepada Yang
Dipertuan Agong ke 17 Tuanku Sultan Ibrahim meminta belas ehsan Tuanku
untuk me...
10 bulan yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan