BARU-BARU ini tersebar melalui Internet dan e-mel kononnya Raja Pop dunia, Micheal Jackson memeluk Islam. Malah beliau juga dikatakan menyanyikan sebuah lagu bertajuk Du’aa yang memuji Allah dengan begitu indah.
Namun, setelah diteliti dan diperhalusi rupa-rupanya lagu tersebut dinyanyikan oleh seorang penyanyi terkemuka dari Afrika Selatan bernama Zain Bhikha. Namun, menurut abang Micheal, Jermaine Jackson, adalah tidak mustahil suatu hari kelak adiknya akan memeluk Islam.
Katanya, apa yang lebih penting Micheal kini tidak mempunyai pandangan yang serong dan sempit terhadap Islam setelah membaca beberapa buku penerangan mengenai Islam yang diberikan kepadanya.
"Micheal kini lebih memahami Islam dan sering juga bertanyakan mengenai agama itu. Berbanding dahulu, seperti kebanyakan warga Barat yang lain, Micheal juga terpengaruh dengan pelbagai dakwaan yang negatif terhadap Islam," katanya.
Malah beliau kini mempunyai sebahagian pegangan saham di sebuah syarikat milik Putera Arab yang berstatus bilionair, Waleed Talal.
Berita pengislamannya itu begitu mengejutkan dunia Barat dan peminat seninya. Mereka sama sekali tidak menyangka Jermaine akan memeluk Islam dan kini memilih hidup yang cukup berbeza berbanding kehidupannya dahulu.
Pada tahun 1989, bersama dengan adiknya, Janet Jackson, mereka mengadakan persembahan di beberapa negara Asia Barat. Ketika menetap di Bahrain, Jermaine berpeluang menemui sekumpulan kanak-kanak negara itu yang datang menemui beliau.
"Tanpa saya sangka, agak mengejutkan apabila mereka menjawab ‘Islam’ dengan bangganya tanpa ragu-ragu," katanya.
"Melihat kesungguhan mereka menerangkan Islam, saya menjadi kagum malah saya berasa sungguh damai mendengarkan penerangan mereka itu," katanya.
Sejak peristiwa itu, Jermaine mengambil peluang mengadakan perbincangan yang panjang lebar mengenai Islam dengan beberapa ulama dan tokoh Islam terkemuka di Bahrain.
"Ini menyebabkan hati dan pemikiran saya mula berkocak hebat," katanya yang pada zaman kegemilangannya pernah dicalonkan untuk Anugerah Grammy dalam kategori Best Male R&B Vocal Performance melalui albumnya Let’s Get Serious pada tahun 1979.
Begitupun, Jermaine belum sepenuhnya mendapat ‘hidayah’ untuk memeluk Islam dan menganggap semua maklumat yang diperoleh tentang Islam tidak akan mengubah dirinya sebagai penghibur dan dia akan terus kekal sebagai penggiat seni dan muzik Barat.
Beliau kemudian memberitahu perasaannya itu kepada seorang sahabat yang bernama Qunber Ali yang kemudiannya membawa Jermaine ke Riyadh, ibu negara Arab Saudi .
Setelah memeluk Islam, Jermaine mendapatinya dirinya bagai dilahirkan semula. Ini kerana Islam telah memberikan jawapan kepada pelbagai keraguan beliau sebelum ini terutama mengenai agama asalnya.
"Islam memberikan jawapan yang sangat memuaskan hati terutama mengenai kelahiran dan kenabian Nabi Isa a.s. dan saya berdoa agar seluruh keluarga saya juga dapat menerima hakikat yang sama," katanya.
Seluruh keluarga Jackson adalah pengikut ajaran Kristian yang dikenali sebagai Avendance of Jehova (Penyaksian Jehova) dan antara ajaran yang menjadi pegangan adalah hanya seramai 144,000 lelaki di muka bumi ini layak memasuki syurga.
Pelbagai cara dilakukan oleh Jermaine untuk mengenali Islam. Semasa di Mekah beliau mengambil kesempatan menikmati lagu-lagu nasyid dan mendalami lirik lagu seperti yang dinyanyikan oleh Yusuf Islam (Cat Stevens).
"Saya juga banyak belajar daripada beliau mengenai Islam berikutan kami mempunyai latar belakang, kerjaya dan kebolehan yang hampir sama sebelum ini," katanya yang juga sering belajar mengenai Islam dengan bekas juara tinju dunia, Muhammad Ali.
Jermaine bertindak rasional malah berasa hairan dengan fobia pihak Barat terhadap Islam sedangkan mereka tidak cuba mengenali Islam dan jauh sekali cuba menyelami tekanan yang dihadapi oleh umat Islam angkara perbuatan dan sikap melampau Barat sendiri.
Beliau juga tidak ambil peduli dengan apa juga kisah yang cuba didedahkan oleh media mengenai dirinya.
"Ini kerana siapakah mereka untuk mengutuk atau mencerca Islam sedangkan mereka sendiri tidak mengikut ajaran agama masing-masing dan tidak
Menurut Jermaine, Islam banyak menguraikan kekusutan jiwa pada dirinya kerana kesanggupan beliau merubah diri mengikut seperti yang diajarkan oleh Islam. Ia benar-benar memberi satu kehidupan baru yang lebih bermakna dan memberinya pandangan hidup yang lebih positif dan rasional.
Bercakap mengenai keluarga Jackson, Jermaine berkata, pelbagai ancaman yang diterima oleh keluarga beliau itu akhirnya dapat ditangani dengan baik.
Mengenai adiknya dan khabar-khabar angin yang bertiup kencang mengatakan Micheal juga telah memeluk Islam, Jermaine berkata, beliau boleh mengesahkan adiknya itu belum lagi mengikut jejak langkahnya.
"Micheal tidak memeluk Islam tetapi dia juga tidak menentang atau mencemuh Islam malah lagu-lagunya banyak mengajar supaya kita semua supaya berkasih sayang sebagaimana yang diajarkan oleh ibu bapa kami sebelum ini.
"Tetapi siapa tahu pada suatu hari Micheal akan memeluk Islam. Hanya masa dan takdir yang akan menentukan. Sebagaimana juga tidak ada sesiapa yang memaksa saya untuk memeluk Islam. Begitu juga kepada Micheal, tidak ada sesiapa yang boleh memaksa untuknya memeluk Islam," katanya yang pernah berduet dengan adiknya dalam lagu yang begitu popular, Tell Me I’m Not Dreamin, pada tahun 1984.
Seorang lagi adik beliau yang juga sangat popular, Janet, sangat terkejut dengan pengislaman abangnya itu. Janet lebih melucukan kerana apabila sebut sahaja Islam, apa yang beliau tahu dan menjadi ketakutannya ialah soal poligami.
"Jika seorang lelaki secara emosi terpikat dengan wanita lain maka ia patut menghalal dan menghormati hubungan itu dengan perkahwinan. Jika tidak, dia patut mempunyai seorang isteri sahaja," jelasnya.
Menurut Jermaine, setiap wanita dalam Islam umpama sekuntum bunga yang kembang mekar dalam sebuah taman larangan yang mesti dijaga dan dilindungi daripada sebarang makhluk perosak sekalipun yang bernama lelaki.
Lagipun, katanya, dalam seluruh populasi umat Islam di seluruh Amerika Syarikat, tidak sampai 10 peratus penganutnya yang mengamalkan poligami. Jadi, tidak ada sebab untuk adiknya itu berasa bimbang.
Walaupun Jermaine dikatakan sudah bercerai dengan Alejandra pada tahun 2004 namun ada versi yang mengatakan isterinya itu juga berminat dan sedang mempelajari Islam.
PADERI KRISTIAN YANG MENERIMA HIDAYAH ALLAH
SHEIKH Yusuf Estes ialah seorang cendekiawan terkenal yang tidak pernah jemu mengembangkan syiar Islam ke seantero dunia serta mengedarkan bahan-bahan ceramah dalam pelbagai medium kepada umat manusia.
Ikuti autobiografi penghijrahan akidah beliau dari seorang pengkhutbah Kristian kepada pendakwah Muslim yang aktif dan disegani.
Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga yang berpegang kuat kepada agama Kristian di Midwest, Amerika Syarikat. Hakikatnya, nenek moyang kami bukan sahaja membina gereja-gereja dan sekolah-sekolah sepanjang tanah ini tetapi keturunan kami juga merupakan orang yang paling awal datang ke situ.
Semasa di sekolah rendah, kami sekeluarga ditempatkan semula di Houston, Texas pada 1949. Kami selalu menghadiri gereja dan saya telah dibaptiskan pada usia 12 tahun di Pasadena, Texas.
Pada zaman remaja, saya teringin melawat ke gereja-gereja lain untuk mempelajari Baptist, Methodist, Episcopalian, Charismatic movement, Nazarene, Church of Christ, Church of God, Church of God ini Christ, Full Gospel, Agape, Chatolic, Presbyterian dan banyak lagi.
Namun, pengkajian saya tidak terhenti kepada agama Kristian. Agama Hindu, Yahudi, Buddha, Metaphysics dan kepercayaan tradisi orang Amerika turut saya selidiki. Sayangnya agama Islam tidak menjadi pilihan.
Bagaimanapun, saya tertarik dengan perbezaan jenis muzik terutamanya Gospel dan Klasikal. Memandangkan keluarga saya ramai yang kuat agamanya dan muzikal, ia secara tidak langsung menjadikan dua bidang ini sebagai pengajian permulaan. Semua ini membawa saya kepada jawatan Paderi Muzik di beberapa gereja di mana saya menjadi ahli gabungan selama lebih setahun. Saya mula mengajar keyboard pada 1960 dan sehingga 1963, saya berjaya memiliki studio sendiri di Laurel, Maryland yang diberi nama Estes Music Studios.
Sepanjang 30 tahun, saya dan bapa banyak bekerjasama mengendalikan pelbagai program hiburan. Kami juga membuka kedai piano dan organ di Texas, Oklahoma hingga ke Florida. Meskipun memperoleh kekayaan namun sukar temui ketenangan fikiran.
Persoalan seperti; “Mengapa kita diciptakan Tuhan?”, “Apakah yang Tuhan mahu kita lakukan?”, “Siapa Tuhan sebenarnya?” dan “Kenapa kita percaya dengan dosa sebenar?” sering menghantui diri. Namun semua persoalan ini dibidas keras malah menyuruh anda menerima tanpa mempersoalkannya atau itulah ‘misteri’ dan anda tidak perlu mempersoalkan hal itu.
Suatu hari tahun 1991, saya terkejut apabila diberitahu bahawa orang Islam mempercayai kitab Bible. Malah lebih memeranjatkan, mereka juga mempercayai bahawa Nabi Isa itu utusan Allah, Rasul, dilahirkan luar biasa tanpa berbapa, Nabi Isa akan kembali pada akhir zaman. Memang ia sesuatu yang sukar dipercayai, apatah lagi fikiran saya tentang Islam agak negatif.
Ayah saya sangat aktif menyokong kerja-kerja gereja, terutamanya dalam program sekolah sehingga beliau ditahbiskan (dipersucikan) pada 1970. Dia dan ibu tiri saya mengenali ramai mubaligh Kristian dan pendakwah sehingga pernah membantu pembinaan “Prayer Tower” di Tulsa, Oklahoma. Mereka berdua juga terlibat mengedarkan kaset-kaset ceramah di rumah-rumah orang tua, hospital dan rumah pesara.
Namun pada 1991, ayah mula berurusniaga dengan seorang lelaki dari Mesir dan menyuruh saya menemui lelaki beragama Islam itu. Pada awalnya saya agak keberatan apa lagi mengetahui bahawa mereka adalah pengganas, perampas, penculik dan pengebom. Bukan itu sahaja, mereka juga bukannya mempercayai Tuhan, yang mereka tahu hanya mencium tanah lima kali sehari dan menyembah kotak hitam di tengah padang pasir.
Tidak! saya tidak akan berjumpa dengannya. Berkali-kali juga ayah mendesak dengan mengatakan dia seorang yang baik. Kerana tidak tahan dengan permintaannya, akhirnya saya bersetuju dengan syarat; pada hari Ahad, selepas ke gereja, membawa kitab Bible, seutas salib dan memakai kep yang tertulis ‘Nabi Isa adalah Raja’. Isteri dan dua anak perempuan saya ikut serta dalam pertemuan itu.
Saya terkejut kerana saya menantikan seorang yang bertubuh sasa dengan jubah, serban, berjanggut paras dada dan bulu kening bercantum di dahi. Tetapi lelaki ini jauh berbeza, tiada janggut dan kepalanya hampir botak. Yang pasti, orangnya menyenangkan dan mesra. Semua ini jauh daripada sangkaan awal saya. Pun begitu, matlamat saya pada masa itu hanya satu iaitu, ‘menyelamatkannya’.
Ketuhanan
Saya banyak bertanyakan soalan kepadanya, terutamanya yang berkaitan dengan ketuhanan dan perihal nabi-nabi. Dia banyak mengiyakan. Kami semakin rancak berbual dan semenjak itu hubungan kami semakin rapat. Saya dapat rasakan yang dia seorang yang baik, pendiam dan sedikit pemalu. Banyak topik yang kami bualkan acap kali bertemu dan ada ketikanya saya cuba selitkan beberapa mesej tentang agama kami.
Pada suatu hari saya dapat tahu bahawa teman Islam saya, Mohamed terpaksa berpindah dan tinggal sementara waktu di masjid. Kami bersetuju menumpangkan Mohamed di rumah besar kami.
Pengenalan pendek dengan seorang lelaki yang mengakui paderi Kristian yang telah melakukan kerja-kerja mubaligh untuk gereja lebih 12 tahun di selatan dan tengah Amerika Syarikat dan Mexico serta di New York membawanya tinggal bersama kami dan Mohamed. Kami berbual tentang konsep kepercayaan dalam agama Islam.
Mengejutkan saya apabila diberitahu bahawa setiap paderi Katolik, mereka belajar agama Islam dan ada di antaranya yang memiliki doktor falsafah dalam subjek itu. Ini satu yang baru bagi saya.
Semenjak itu kami sentiasa berbincang tentang agama masing-masing. Kami pernah bertanyakan perubahan versi kitab masing-masing. Pernah sekali saya bertanyakan kepada Mohamed sejak 1,400 tahun sudah ada berapa versi al-Quran. Pendek jawapannya hanya ada satu iaitu al-Quran malah ia telah dihafal oleh jutaan manusia. Bagi saya ini sesuatu yang mustahil. Bagaimana kitab saya boleh berubah-ubah sedangkan al-Quran tetap terpelihara.
Pada suatu hari teman paderi saya bertanyakan Mohamed keinginannya untuk mengikutnya ke masjid untuk mengetahui keadaan di sana. Sekembalinya mereka, saya bertanya kepada paderi itu apa yang dilakukan oleh orang Islam? Dia memberitahu, tidak ada apa yang dilakukan hanya sembahyang dan pulang. Pelik, tidak ada ceramah ataupun nyanyian.
Beberapa hari kemudian, sekali lagi paderi itu mahu mengikut Mohamed ke masjid. Kali ini mereka pergi agak lama sehingga hari sudah gelap. Bila pulang saya dapati, Peter (paderi) sudah melakukan syahadah. Saya terkejut dan semalaman memikirkan hal itu, lalu menceritakan kepada isteri. Tambah mengejutkan, apabila isteri saya juga menyuarakan hasratnya untuk bergelar Muslim kerana mengakui kebenaran Islam.
Saya terus memanggil Mohamed dan kami berbincang sepanjang malam sehingga masuk waktu solat Subuh, Mohamad meminta izin untuk melaksanakan kewajipannya. Pada detik itu, saya menyedari erti kebenaran dan sudah tiba masanya untuk saya membuat pilihan yang bakal menyelamatkan saya sama ada di dunia mahupun akhirat.
Saya ke belakang rumah, ambil sekeping papan lapis dan di situlah saya sujud mengadap kiblat. Saya meminta, kepada-Nya petunjuk dan bimbingan. Selepas dari itu, saya benar-benar dapat merasakan perubahan di dalam diri. Saya terus naik ke atas dan mandi dengan harapan ia akan membersihkan dosa-dosa. Saya kini seorang yang baru dan berazam membina kehidupan atas dasar kebenaran.
Pukul 11 pagi hari itu, saya mengucap syahadah bersama dua saksi iaitu sebelum ini Father Peter Jacob dan Mohamed Abel Rehman. Kemudian diikuti isteri dan beberapa bulan selepas itu, bapa pula melafazkan syahadah. Anak-anak saya dipindahkan dari sekolah Kristian kepada sekolah Muslim. Sepuluh tahun kemudian mereka berjaya menghafal al-Quran. Akhir sekali, ibu tiri saya pula mengakui kebenaran Islam.
”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan